Tahun 2002, ALLAH pertemukan aku dengan dirinya. Kali pertama aku terpandang dirimu di satu sudut di kelasku, Kau memandangku, aku juga memandang dirimu. Kita saling tiada perasaan aneh. Namun hari demi hari, aku mengenali dirimu, aku terpikat dengan dirimu. Kecomelanmu membuatku terpesona, kenakalanmu bersama teman-teman membuatku tersenyum sendiri. Aneh sekali, aku suka pada lelaki sepertimu.
Tahun 2003, kita sama-sama melangkah ke tingkatan 4, kita berbeza kelas pada mulanya, namun rombakan kelas membuatkan kita bersama semula. Aku duduk menghadap mejamu. Sering kali mencuri pandang wajahmu. Sering kali menatap wajahmu. Sering kali tersenyum sendiri bila melihat telatahmu. Terlalu banyak peristiwa yang berlaku tahun itu, setiapnya kucatatkan di dalam diari hatiku. Terlalu indah sehingga aku tidak mahu terlepas daripada mengingati setiap peristiwa itu.
Tahun 2004, kita terpisah, aku naik kelas, dan kau kekal dikelas yang sama. Tahun itu aku berusaha untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM. Setiap kali kau lalu dikelasku, aku mencuri pandang. Bila kau datang ke kelasku, aku tak keruan. Lucu benar. Aku sering mengharapkan kita berdua dapat berbual-bual, tapi apakan daya, aku terlalu malu. Malu benar terhadapmu. Suaraku sering kali enggan keluar, walaupun aku cuba memaksa untuk keluar. Aku hanya mampu memandangmu. Bila kita berbicara, bicara kita tidak pernah lama. Entah apa silapnya. SPM menjelang tiba, aku berperang dengan kertas soalan. Sepanjang peperiksaan wajahmu tidak kelihatan. Aku rindu wajahmu. Tapi apakan daya, aku tak mampu mencarimu. Minggu peperiksaan berlalu. Aku menantikan keputusan peperiksaanmu. Dirimu kurindu. Payah benar untuk bertemu denganmu.
Tahun 2005, awal tahun. Keputusan peperiksaan diumumkan. Debaran menggila. Kukuatkan langkahku ke dalam dewan sekolah. Alhamdulillah, aku mendapat keputusan yang agak baik. Aku mencari-cari dirimu, tapi tidak kutemui. Akan tetapi kau muncul juga, rinduku selama beberapa bulan terlerai. Wajahmu agak berlainan. Rambutmu agak panjang daripada kali terakhir aku melihatmu beberapa bulan dahulu. Aku cuba mendekati, tapi aku tak mampu. Hanya mampu memandang. Aku terlalu malu, itu silapku. Kenapa jadi begini? Kerana terlalu malu, aku berlalu pergi meninggalkan dewan itu. Bodoh benar diriku ketika itu. Bulan 5, tahun 2005, aku bertemu denganmu selepas beberapa bulan keputusan peperiksaan diumumkan. Kita bertemu dipejabat sekolah. Kita saling membisu. Aku tidak memandang wajahmu. Sekali lagi aku melakukan tindakan bodoh dalam hidupku. Kau melangkah pergi, dan aku hanya mampu memandang langkahmu yang makin hilang. Bulan 5, tahun 2005 juga, aku mendapat tawaran di matrikulasi. Kutekadkan hatiku, kau sahaja dihatiku. Aku meningkatkan usahaku. Aku belajar dengan tekun.
Tahun 2006, pengajianku di matrikulasi tamat. Aku menantikan tawaran melanjutkan pelajaran di universiti. Alhamdulillah, aku diterima di salah satu universiti tempatan. Aku mula menyediakan diriku untuk ke sana. Namun, sesibuk manapun diriku, aku tetap merindui dirimu. Sayang sekali, kau tidak mengetahuinya. Saat yang dinanti tiba jua, aku mendaftarkan diriku di kolej kediaman di universiti berkenaan. Bermulalah hidupku sebagai pelajar universiti. Rinduku semakin menggunung pada dirimu. Kuhanya mengetahui tentang dirimu melalui kawan-kawanku.
Tahun 2007, saat ini cintaku padamu mulai goncang. Tidak perlu kunyatakan kenapa. Tapi bodohnya aku percaya cinta itu. Cinta yang tak pasti. Cinta yang hampir memusnahkan kepercayaan aku terhadap cinta. Bodohnya aku kerana curang pada perasaanku terhadapmu! Mungkin itu balasan buat diriku.
Tahun 2008, tiba jua. Kutekadkan dirimu untuk menghubungi dirimu buat kali pertama dalam hidupku. Saat itu, hanya ALLAH yang tahu. Hidup terasa indah seketika. Namun, akhirnya aku akur dengan takdir. Kau bukan untukku. Aku menghubungimu lagi dengan menghantar SMS, tapi tidak berbalas. Aku cuba menyedapkan hatiku, mengatakan kau tidak mempunyai credit untuk membalas mesejku. Tapi akhirnya aku akur, aku tak mungkin memenangi hatimu, tak mungkin dapat mendekati dirimu. Kerna, hatimu ada dia. Hakikat yang sukar untuk aku menelannya bulat-bulat. Aku akur kini. Aku terlewat untuk mendekati dirimu. Aku gagal.
Kini aku akur. Sudah kuketahui isi hatimu. Aku mula belajar untuk tidak merinduimu. Aku belajar untuk melepaskan bayanganmu. Aku tidak mungkin dapat mendekati dan menawan hatimu. Aku terlewat untuk memulakan langkahku mendekati dirimu. Kuakur dengan ketentuan-NYA. Namun, telah kutekadkan hati ini, seumur hidup ini, aku tak mungkin akan mencari pengganti dirimu. Untuk sahabat-sahabatku, jadikan kisahku iktibar buat dirimu. Kejarlah cintamu, selagi upaya, jangan biarkan cinta itu terlepas kerana sikapmu. Ingatlah pesanku.
No comments:
Post a Comment