Wednesday, July 9, 2008

Kisah 'Brownies'

Hati kita mati sedikit demi sedikit pada satu masa disebabkan perbuatan kita. Beberapa tahun yang lepas, ketika saya masuk ke dalam pejabat saya seperti hari-hari yang biasa, seseorang telah meletak satu bekas berisi 3 ‘chocolate brownies’. Bersama dengan brownies itu terdapat sehelai kertas yang tertulis satu cerpen di atasnya. Sambil duduk menjamah brownies yang pertama, saya mula membaca kisah seperti yang tertulis di bawah.

Dua orang remaja meminta kebenaran ayahnya untuk pergi menonton filem yang sudah ditonton oleh semua rakan-rakan mereka. Namun selepas membaca sedikit review filem itu di internet, ayah mereka menolak permintaan mereka.

“Ah ayah, kenapa tak boleh?” gusar si adik. “Ia dilabel 13-SX, tapi kami berdua dah pun lebih dari 13 tahun!”


Ayahnya membalas, “Ini kerana filem itu terdapat aksi-aksi yang tidak bermoral dan tidak patut ditonton oleh masyarakat umum.”


“Tapi ayah, itu cuma sebahagian kecil daripada filem itu! Kawan-kawan kami cakap, filem itu ada 2 jam, tapi aksi-aksi itu hanya beberapa minit saja! Filem ini ada banyak pengajaran yang lebih besar, seperti kemenangan kebaikan di atas kejahatan, pengorbanan, dan keberanian. Review di laman web filem juga ada mengatakan demikian!”
“Jawapan ayah ialah “tidak” dan ini adalah muktamad. Kamu boleh ajak kawan-kawan kamu datang ke rumah malam ini dan menonton video-video yang ada dalam koleksi video keluarga kita. Tapi kamu tidak boleh pergi menonton filem itu. End of discussion.”


Kedua-dua anak itu berjalan dengan muka masam mencuka ke ruang tamu dan duduk di atas sofa. Sambil membayangkan wajah pelakon filem yang tidak akan mereka tonton, mereka terdengar bunyi dari dapur; seperti bunyi ayah mereka menyediakan sesuatu. Tidak lama kemudian mereka mengecam bau aroma brownies sedang dimasak di dalam oven, dan si abang berkata kepada adiknya, “Ayah mesti rasa bersalah, dan sekarang dia hendak mengambil hati kita dengan brownies tu. Mungkin kita boleh lembutkan hatinya dan memujuknya untuk benarkan kita pergi ke wayang menonton filem itu.”


Ketika ini saya sudah pun habis memakan brownies pertama dan mula memakan yang kedua. Saya memikirkan, apakah kaitan antara brownies yang saya makan dan brownies di dalam kisah ini. Saya teruskan bacaan saya.


Kedua-dua remaja itu tidak kecewa. Tidak lama kemudian, ayah mereka muncul dari dapur dengan satu pinggan brownies yang masih panas dari oven, dan memberinya kepada kedua orang anaknya. Kedua-dua mereka mengambil satu brownies.


Kemudian si ayah berkata, “Sebelum kamu semua makan, ayah nak cakap sesuatu. Ayah sayangkan kamu berdua.” Kedua-dua remaja itu saling berpandangan antara satu sama lain dengan senyuman penuh makna. “Ayah dah lembut hati,” bisik hati mereka.


“Itulah sebabnya ayah membuat brownies ini menggunakan bahan-bahan yang terbaik. Hampir kesemua bahan adalah organik; tepung organik yang terbaik, telur ayam Omega-3 gred A, gula organik yang terbaik, Vanilla Premium dan coklat yang paling enak.”





Brownies itu kelihatan sungguh melazatkan, dan kedua remaja itu menjadi semakin tidak sabar lagi untuk merasai kesedapannya kerana ditangguhkan oleh ‘khutbah’ ayahnya yang semakin panjang.


“Tetapi ayah ingin berlaku jujur kepada kamu berdua. Ada satu bahan istimewa yang ayah letak dalam brownies itu yang tidak akan dijumpai oleh mana-mana brownies lain. Dan bahan itu ayah ambil dari belakang rumah kita. Tapi kamu jangan risau, ayah hanya letak sekelumit sahaja bahan itu ke dalam brownies kamu. Jumlahnya sangatlah sedikit. Jadi makanlah dan berikan pendapat kamu tentang resepi baru brownies ayah.”


“Ayah, boleh tak ayah bagitahu apa bahan misteri tu sebelum kami mula makan?” tanya si abang.


“Kenapa? Sikit je jumlah bahan tu yang ayah letak. Satu sudu je. Kamu tak akan boleh perasan pun rasanya.”


“Ala ayah.. bagitahu je la kat kami apa bahan tu” pinta si adik.


“Jangan risau! Bahan tu organik, sama seperti bahan-bahan lain juga”.

“Ayahh..” pinta kedua-dua beradik itu, serentak.

“Ok, kalau kamu bersungguh-sungguh nak tahu. Kandungan misteri itu ialah…. Tahi anjing!!”




Saya terus berhenti menguyah brownies kedua dan saki-baki di dalam mulut saya luahkan di dalam bakul sampah di tepi meja saya. Saya teruskan membaca beberapa perenggan terakhir dari cerpen yang menakutkan itu.


Kedua-dua anak itu terus meletakkan kembali brownies itu ke dalam pinggan dan mengesat-ngesatkan tangan kanan mereka ke baju dengan penuh rasa menjijikkan.


“Ayah! Ayah tahu tak yang ayah dah seksa kami dengan bau brownies yang sedap tu selama setengah jam. Bila dah siap, ayah kata ayah letak tahi anjing dalam brownies tu. Kami mana boleh makan bende tu”.


“Kenapa tak boleh pula? Kandungan tahi tu sangat sedikit kalau dibandingkan dengan bahan-bahan lain. Takkan ada efek punya la.. Ia sudah pun dimasak bersama-sama bahan yang lain. Kamu takkan boleh perasan pun rasanya. Ia dah pun bersebati dengan bahan-bahan lain menjadi brownies. Jadi tunggu apa lagi, makanlah!”


“Tak ayah… kami tetap taknak makan!”




“Dan ini adalah sebab yang sama kenapa ayah tak benarkan kamu berdua pergi menonton filem tadi. Kamu tak boleh terima sedikit tahi anjing di dalam pinggan kamu, kenapa kamu boleh terima sedikit adegan tidak bermoral di dalam filem yang boleh mengotorkan hati kamu? Kita berdoa kepada Allah yang Dia akan menjaga kita dari mengikut hawa nafsu, tapi kenapa kita dengan akal fikiran yang waras boleh membenarkan diri kita menonton sesuatu yang boleh meninggalkan kesan kotor di dalam diri, fikiran dan hati kita dan terperangkap di dalam lubuk nafsu sesudah itu? Harap kamu berdua dapat pengajaran yang baik dari peristiwa ini”.


Saya terus membuang lebihan-lebihan dari brownies kedua, dan brownies ketiga yang masih lagi belum disentuh. Sesuatu yang tidak boleh ditahan beberapa minit yang lalu kini menjadi sesuatu yang tidak boleh diterima. Dan ini semua hanya kerana terdapat kebarangkalian yang kecil bahawa apa yang saya makan tadi terkandung bahan istimewa, seperti di dalam cerpen itu juga.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...